Friday, November 17, 2006

Kemenjadian Tarbiyah Anak

Sempena cuti panjang yang baru bermula hari ini tergerak saya ingin membincangkan isu kemenjadian anak-anak kita di dalam menjalani Tarbiah Islam kearah menjadi insan sesempurna mungkin yang akan memikul beban Dakwah Islam di hari muka. Perasaan ini menjadi lebih kuat apabila selesai bersama-sama dengan teman atau masyarakat awam betapa tenatnya keadaan remaja masakini yang menjadi mangsa persekitaran yang rosak, media yang memaling mereka dari menelaah buku-buku Islam seperti tafsir, hadis, sejarah Islam, akhlak atau tasawuf, tauhid dan sebagainya kepada majallah, novel, halaman di internet dan lain-lain yang membuang masa lagi merosakkan.

Sebelum itu syukur kepada Allah dan tahniah diucapkan kepada ibu bapa yang berjaya membesarkan anak-anak mereka sehingga mencapai umur kahwin dalam keadaan mereka dilengkapi dengan ilmu-ilmu di atas ditambah dengan keimanan dan semangat berdakwah di Jalan Allah, mampu mengharungi cabaran Jahiliyah yang sedang melata dan berbakat tinggi dalam memimpin rakan dan orang lain ke arah Islam yang dia sendiri jelas apa yang hendak dicapai.

Malang pula bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang kurang berakhlak dengan Islam yang sempurna dan menyeluru walau memiliki digenggaman beberapa gulung ijazah dari universiti-universiti yang terkenal di seluruh dunia. Bahkan ada yang menjurus kepada tersingkir dari Aqidah Islam seperti yang berlaku kepada segelintir keluarga.

Di mana kepincangan atau silapnya? Bagaimana harus diperbaiki? Masihkah ada masa lagi?

1- Mengambil remeh persekitaran yang berpotensi besar merosakkan manusia terutama remaja. Amat besar kesilapan seseorang apabila dia tidak merasa bahawa hidup ini adalah satu pertembungan dan persaingan diantara Islam yang hak dan agama-agama lain yang batil. Persaingan ini jelas dapat dilihat diaspek-aspek ekonomi maupun pendidikan budaya, media, politik dan sebagainya.